Sabtu, 9 Mei 2015

Karipap Sardin




Saya memang peminat no 1 karipap sardin, malahan apa apa kuih muih atau masakan yang berasaskan sardin lah sebenarnya. Jadi sebab sangat menggemarinya, saya belajar dan belajar, praktis dan praktis sehingga dapat menghasilkan karipap yang menepati selera saya termasuklah karipap inti ayam atau daging dengan kentang biasa. Kemudian saya mengajar bekas pembantu rumah sehingga dia juga berjaya membuat karipap yang sedap. Bukan apa, agak leceh menyediakan karipap ni. Sebab itu juga lah, dah bertahun tahun saya tidak membuatnya sendiri. 





Teringat masa mula mula belajar buat karipap, masa tu kami baru kawin dan tinggal di Wangsa Maju. Saya memang tak reti nak mengelim karipap tu, jadi tanya hubby kalau dia tahu. Apa jawabnya, hahaha dia tahu. Jadi selepas siap, minta dia buat kelim, ternyata dia tak pandai pun, jadi hubby minta talian hayat dengan call kakaknya. Dalam dok terkial kial tu, entah macam mana terjadinya kelim tu dengan sendiri di tangan saya. Apalagi, saya lah akhirnya yang membuat karipap tu, bukan my laling hubby. Punyalah gitu sekali keinginan nak mencuba dan belajar. 
Entah kenapa hari ini, tiba tiba terasa ingin memakan karipap sardin. Terpaksa lah membuatnya sendiri kerana usaha untuk membeli karipap sardin tidak berhasil. Tanya di sana sini, tak ada yang membuat karipap sardin yang sedap. Banyak yang dijual, nama jer karipap sardin tapi di dalamnya hanya ada bawang besar atau ubi kentang dengan kuah sardin sahaja. Tak jumpa pun isi ikan di dalamnya. Frust sangat sangat kerana mereka tidak jujur dalam berjualan.




Saya terus menghantar mesej kat Juita minta dikeluarkan bahan bahan yang diperlukan supaya boleh terus membuatnya sebaik sampai di rumah. Lagipun hari ini saya dan Juita berpuasa. Saya menyiapkan satu pinggan untuk berbuka puasa dan selebihnya disambung selepas berbuka dan siap semuanya pukul 9.30 malam. 
Hmm sangat rangup pastri karipap ini dan tidak berjerawat. Terlerai keinginan nak memakan karipap sardin yang sekian lama. Sedap mengikut selera kita, bila disediakan sendiri. Tapi biasalah dah penat kan, kejadian saiz dan kelimnya cukup untuk dimakan sendiri lah. 

Karipap Sardin
Oleh: Azie Kitchen
Bahan Kulit:
1/2 kg tepung gandum
1/2 cawan majerin yang dicairkan
225 ml air  dari peti ais
Garam

Masukkan tepung gandum dan garam ke dalam bekas yang besar. Buat lubang tengah-tengah timbunan tepung. 
Panaskan majerin atas api yang kecil hingga mendidih. Tuangkan majerin yang dah dicairkan tadi. Gaulkan dengan sudu sehingga bancuhan tepung menjadi seperti serbuk roti.
Tuangkan air sedikit demi sedikit sehingga mendapat tahap kelembutan yang sesuai. Doh menjadi lembut dan tidak melekat pada tangan.
Masukkan dalam plastik dan simpan dalam peti ais sekejap. Sebelum menyediakan doh, saya menyediakan inti dulu bagi membolehkan inti sejuk.


Bahan Inti Sardin:
1 tin sardin cap Ayam Brand
3 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1-2 biji ubi kentang - potong dadu
1 biji bawang besar - potong dadu
1 biji cili merah - hiris
Sedikit cili kisar (ikut pedas disukai)  
Daun sup/daun bawang
Garam secukupnya

Sardin diasingkan ikan dan kuahnya. Hancur hancurkan isi ikan. Ketepikan.
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi. Masukkan ubi kentang dan masak sehingga agak lembut.
Masukkan isi ikan, bawang besar dan cili merah. Goreng sehingga masak.
Akhir sekali, masukkan garam dan daun sup. Jika terlalu kering, masukkan sedikit kuah sardin. Biarkan sejuk seketika.


Cara cara menyediakan karipap:
Bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan canai di atas papan pencanai yang ditaburkan sedikit tepung gandum. Tekap dengan acuan atau dengan gelas.


Masukkan inti sardin yang telah disejukkan. Tekan tekan di bahagian tepi sebelum dikelim.


Goreng di dalam minyak panas yang banyak hingga tenggelam dengan api yang perlahan. Sentiasa dibalik balikkan dengan perlahan.

Petua petua:
Cara menggoreng untuk mendapatkan karipap yang rangup dan tidak bergerutu. Panaskan minyak yang banyak, bila dah panas, tutupkan api dan masukkan karipap. Lepas tu, baru dihidupkan semula api dapur yang kecil sahaja. Selalu dibalik balikkan dengan berhati hati dan goreng hingga keemasan. Jangan isi terlalu banyak dalam satu masa. Ulang proses yang sama untuk kali kedua dengan tutup api dahulu.

Karipap yang lebih jika mahu disimpan adalah seperti berikut:
1. Dengan menyusun di dalam dulang beralaskan plastik dan simpan dalam peti ais dalam 1/2 jam. Kemudian keluarkan dan susun dalam tupperware. Boleh simpan bertingkat tingkat dengan tak perlu meletakkan plastik pun kerana ianya tidak akan melekat sebab kulit karipap dah keras. Jika mahu letak plastik pun boleh juga. Yang penting karipap dikeluarkan dari bekas ketika beku agar tidak melekat satu sama lain.

2. Goreng karipap separa masak dan simpan dalam freezer. Lebih cepat dan mudah semasa menggoreng kali kedua.

3. Bakar karipap di dalam oven dalam 10 minit sekadar mematikan tepung. Lepas itu disimpan di dalam freezer. Insya Allah tak melekat semasa hendak digoreng

Tiada ulasan:

Catat Ulasan